MUS'AB BIN UMAIR - Da'i Mujahid
Mus'abnadalah sahabat Rasulullah yang
sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman.
Sebelum memeluk Islam lagi Mus'ab
terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas,
mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang
mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus'ab menjadi kegilaan gadis di
Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.
Mus'ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi
ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak
pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah
selepas mendapat tahu Mus'ab telah menganut Islam.
Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Mus'ab
selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun
tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman
ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat
sementara.
Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa
takut pada Mus'ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam
kerana kasih pada ibunya. Mus'ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua
tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.Pada suatu
hari Mus'ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan
sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak
akan makan dan minum sehingga Mus'ab meninggalkan Islamnya. Cuba bayangkan bagaimana jika anda
berada di tempat Mus'ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir
tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya
terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan?
Dengarlah jawapan Mus'ab kepada ibunya:
Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun,
dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan
Islam sama sekali.
Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak.
Dengan jawapan tersebut juga, Mus'ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah
Mus'ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.
Untuk meneruskan kehidupannya, Mus'ab berusaha
sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita
ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah
dicemari oleh sikap Mus'ab. Adik-beradik Mus'ab juga sering menemui dan
memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus'ab tetap mempertahankan
keimanannya.Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim
menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah
ke Habysah. Mus'ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari
Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian
compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah.
Kata-kata Rasulullah mengenai Mus'ab sering disebut-sebut oleh sahabat:
Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya.
Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus'ab seorang pemuda yang hidup mewah di
tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua
kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Apabila ibu Mus'ab mendapat tahu mengenai
kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia
mengutuskan adik Mus'ab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus'ab
tetap dengan pendiriannya.
Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga
sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya.
Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus'ab ditugaskan
memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan
kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus'ab tetap tidak berganjak dari
tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak
diutuskan rasul. Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy,Ibn Qami ah menyerbu ke arah Mus'ab dan melibas
tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam.
Mus'ab menyambut panji-panji itu dan memegang
dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu
menyebabkan Ibn Qami ah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus'ab
terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang
kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus'ab
sebagai syuhada' Uhud.
Abu al-Rum, Amir ibn Rabi ah dan Suwaibit ibn Sa'ad
telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum
telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus'ab. Abu Rum
tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya
memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang
mencukupi untuk menutup mayat Mus'ab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak
dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan
dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya
terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu
digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun
kayu.
Pengajaran :
Demikian kisah kekuatan peribadi
seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Kisahnya
mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran.
Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.
Mus'ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan
mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji
antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus'ab lebih mengutamakan
kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan
kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan
kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi
yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam
No comments :
Post a Comment