24 November 2012

Muhasabah diri capai kegemilangan agenda ummah sepanjang zaman






UMAT Islam hendaklah peka dengan perkembangan semasa dan perlu sentiasa menilai kembali sejauh mana tanggungjawab dan kedudukan mereka kepada agama.

Mereka juga perlu prihatin dengan sebarang perkembangan yang berlaku demi memastikan kedudukan Islam sentiasa terpelihara.

Perkara ini amat mustahak kerana dalam situasi sekarang, umat Islam masih bergerak dan bertindak tidak sekata. 

Situasi ini sebenarnya amat tidak menguntungkan dan membuahkan natijah yang dibanggakan kepada agama Islam dan penganutnya.

Yang pasti, walaupun bilangan umat Islam ramai dan kini mencecah hampir 1.6 bilion dan ditambah pula keadaan buminya yang kaya dengan pelbagai sumber galian, mereka tetap tidak terkecuali daripada terus dihina, diancam dan dibunuh tanpa belas kasihan.

Dunia pun sudah menyaksikan bagaimana keadaan umat Islam hari ini yang terus dihimpit dengan kemiskinan, kesengsaraan dan lazim menjadi pelarian walaupun di negara sendiri. Soalnya, kenapa atau mengapakah ia berlaku? 

Secara mudah, untuk menjawab persoalan ini, setidak-tidaknya ada yang beranggapan bahawa situasi itu bukanlah sesuatu yang pelik, tetapi pernah berlaku suatu ketika dulu pada awal pemerintahan Islam.

Maknanya, mereka beranggapan bahawa Islam itu tidak sesekali akan berada di kemuncaknya, tetapi pada satu-satu masa akan sama berada dalam kegawatan.

Maknanya juga, situasi ini bukan saja berlaku untuk ketika ini saja, malah berlaku semasa hayat Rasulullah. 

Kita mengakui bahawa Islam pernah menjejaki zaman suram, dan ada kalanya juga zaman kegemilangan. 

Dalam peperangan, Islam pernah mencapai kemenangan seperti mana diperoleh dalam Perang Badar dan tidak terkecuali menerima kekalahan dalam Perang Uhud. 

Ini kerana yang menentukan jatuh bangun, menang kalah, dan pahit manis sesuatu kejadian di alam ini hanyalah berdasarkan kehendak dan kemahuan Allah.

Perkara ini diterangkan dalam al-Quran seperti mana firman-Nya yang bermaksud : “Dan demikianlah keadaan hari-hari di dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan Kami gilirkan antara sesama manusia agar menjadi pengajaran dan Allah mengetahui mengenai orang yang benar-benar beriman dan supaya Allah menjadikan sebahagian kamu orang yang gugur syahid. Ingatlah Allah tidak suka kepada orang yang bertindak zalim." (Surah Ali Imran, ayat 140).

Peristiwa silam ini nampaknya tidak seiring dengan apa yang berlaku ketika ini. Kini umat Islam terus ditindas, manakala kejayaan dicapai tidak sehebat umat bukan Islam.

Justeru untuk kembali bangkit dan terus mencapai kemajuan, sebarang halangan yang boleh menyebabkan kemunduran dan kelemahan itu hendaklah dihapuskan.

Banyak faktor yang menyebabkan umat Islam terpinggir antaranya adalah kelemahan umat Islam sendiri yang sering membelakangi perintah dan larangan sendiri.

Bertepatan dengan perkara ini, al-Quran Allah berfirman yang bermaksud : “Kamu umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu mengajak berbuat kebaikan dan di masa yang sama menghalang dan mencegah manusia daripada melakukan perkara yang dilarang oleh agama Islam serta sekali gus kamu beriman kepada Allah.” (surah Ali Imran ayat 110). 

Sesungguhnya, tanggungjawab sebenar umat Islam adalah melaksanakan kebaikan, dan dalam masa sama melipat gandakan usaha mencegah kemungkaran.

Apa yang sangat menyedihkan, masih ada sebilangan umat Islam bertindak sebaliknya. Mereka tidak bersedia melakukan kebaikan, tetapi terjerumus melaksanakan pelbagai kegiatan kemungkaran.

Lebih mendukacitakan, mereka juga berbangga dan tidak segan menceritakan yang dirinya setia dengan kemungkaran. Lebih parah lagi, ada yang menganggap kebaikan sebagai kemungkaran dan kemungkaran pula sebagai kebaikan.

Dari segi tuntutan agama, Islam menuntut penganutnya agar umat pilihan seperti yang digambarkan Allah dalam al-Quran yang bermaksud : “Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat Muhammad berupa bangsa pilihan lagi adil. Agar kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada manusia seluruhnya. Dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran tentang perbuatan kamu.” (surah al-Baqarah, ayat 143).

Hari ini, ada umat Islam yang membelakangi tuntutan ini. Mereka terpengaruh dengan sifat dan sikap golongan Yahudi dan Nasrani hinggakan mereka sanggup melakukan sesuatu ditegah agama.

Mereka gemar melakukan larangan agama seperti rasuah, pecah amanah, tamak dan banyak lagi sifat yang dicela agama.

Ada juga yang hidup serba mewah hingga lupa tanggungjawab kepada agama dan saudara seagama. Mereka menjadikan budaya Barat sebagai amalan dan tidak cukup setakat itu, berpuas hati dan berbangga pula dengan sesuatu yang dilakukan oleh barat.

Islam juga menghendaki agar umatnya bersatu yakni menjadikan akidah Islamiah sebagai tunjang utama dengan disertai kesatuan dalam berfikir, bertindak dan bersuara.

Umat Islam sepatutnya menghindari perpecahan khuatir mereka lupakan siapakah musuh sebenarnya. Yang pasti musuh Islam sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperalatkan umat Islam agar mereka sentiasa terus berpecah sesama sendiri.

Apabila perancangan itu berjaya, umat Islam ketika itu bukan lagi umat pilihan, tetapi umat terkebelakang, dipandang hina dan tidak berguna pada reaksi mereka.

Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, masanya sudah tiba untuk umat Islam sama-sama berfikir dan memuhasabah diri di manakah tanggungjawab dan kepekaan diri terhadap kesucian agama ini.



No comments :

Post a Comment